GANGGUAN BEKALAN AIR AKIBAT HUJAN LEBAT

SYARIKAT AIR NEGERI SEMBILAN SDN. BHD. (SAINS) BERDEPAN MASALAH GANGGUAN BEKALAN AIR AKIBAT HUJAN LEBAT DAN PARAS AIR SUNGAI MENINGKAT DI NEGERI SEMBILAN DISEMBER 2021.

Dikemaskini pada: 24 Disember 2021, 5.00 petang

Penghujung tahun 2021, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS) berdepan dengan cabaran mengatasi masalah bekalan air di beberapa daerah di Negeri Sembilan akibat hujan lebat sejak 18 Disember 2021 dan peningkatan paras air sungai yang mendadak menyebabkan banjir di beberapa kawasan di Jelebu, Seremban, Rembau dan Port Dickson. Daerah yang begitu terkesan adalah di Jelebu sehinggakan hampir keseluruhan kawasan di Jelebu terputus bekalan air berikutan intake atau muka sauk ditenggelami air sungai, loji rawatan air terpaksa memberhentikan operasinya, hampir keseluruhan paip perhubungan dan paip S-bend sekitar Jelebu terputus, patah dan dihanyutkan oleh aliran sungai yang deras.

    BANJIR 1

SAINS terus berusaha membantu memulihkan bekalan air di Jelebu dengan bertindak awal membersihkan kawasan intake Lakai yang ditenggelami air dan dipenuhi longgokan sampah di weir gate. Unit M&E SAINS sentiasa memastikan semua pam boleh beroperasi seperti biasa walaupun berdepan dengan masalah bekalan elektrik yang masih terputus dan sistem dalaman yang rosak. Melihat pada kerosakan infrastruktur dalaman loji akibat banjir, ianya sukar dijangkakan untuk pulih dan dapat membekalkan bekalan air dengan cepat ke kawasan yang terjejas. Namun dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua warga SAINS terutama Jabatan Pengeluaran SAINS menyelesaikan setiap masalah yang ada, maka LRA Kuala Klawang dan LRA Titi antara loji yang dapat dipulihkan dan mula membekalkan bekalan air kepada hampir 11,000 akaun walaupun ada beberapa kawasan masih terganggu. Sehingga hari ini 24 Disember 2021, LRA Lakai pula mula beroperasi dan diharapkan ianya mampu berterusan membekalkan bekalan air ke kawasan sekitar Lakai dengan hampir 7,000 akaun terlibat.

Kemampuan loji beroperasi belum menjamin keseluruhan kawasan di Jelebu mendapat bekalan air bersih seperti biasa. Masih ada kawasan yang belum mendapatkan bekalan air disebabkan beberapa faktor bencana yang sedia maklum belum di atasi seperti runtuhan jalan, tebing dan jambatan, terputus bekalan elektrik dan perhubungan serta kawasan yang masih ditenggelami air. Keadaan ini mengakibatkan banyak infrastruktur SAINS seperti paip agihan dan paip S-bend yang ditenggelami, putus dan patah serta dihanyutkan air. Kerja-kerja pembaikan ini memerlukan tenaga kerja yang ramai, usaha yang berterusan, peralatan serta bahan yang perlu dibawa masuk, ianya memakan masa untuk dipulihkan seperti asal. Oleh demikian, Jabatan Operasi SAINS dan SAINS Daerah akan terus mengambil tindakan membaiki dan membuat sambungan paip sementara di beberapa kawasan terlibat dengan kerjasama dari pelbagai agensi dan jabatan kerajaan yang berkenaan bagi mempercepatkan penyambungan bekalan air ke kawasan terjejas.

Sepanjang tempoh gangguan bekalan air di kawasan-kawasan terjejas, SAINS tidak pernah mengabaikan penduduk yang menghadapi kesulitan hidup tanpa bekalan air ini. Perjumpaan bersama-sama Ahli Parlimen Jelebu YB Datuk Seri Jalaluddin Alias dan beberapa wakil penduduk juga telah diadakan pada 20 Disember 2021 di Balai Polis Jelebu. Pelbagai cadangan dari kedua pihak dibincangkan dan tindakan yang bakal diselaraskan oleh SAINS telah diputuskan serta dilaksanakan antaranya mengaturkan pergerakan lori tangki dan penempatan tangki statik di Jelebu.

  BANJIR 2

SAINS daerah berusaha menyusun jadual untuk memberikan bantuan bekalan air melalui lapan buah lori tangki bersaiz besar (JUMBO) yang ditempatkan di beberapa kawasan seperti Felda Pasoh, Pertang dan Simpang Durian. Perkhidmatan JUMBO ini selain dari yang disediakan oleh SAINS ada diantaranya mendapat kerjasama daripada pihak Pejabat Daerah Jelebu dan BOMBA Negeri Sembilan. Penduduk boleh datang membawa bekas bagi mengambil bekalan air bersih. Selain itu, SAINS turut mengarahkan tujuh buah lori tangki milik SAINS serta bantuan dua buah lori tangki dari Syarikat Air Johor (SAJ) dan sebuah lori tangki dari Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk bekerjasama membuat pengagihan bekalan air dengan memasuki kawasan kampung, taman serta Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan terjejas banjir bagi membekalkan bekalan air bersih. Penempatan sebanyak 17 buah tangki statik milik SAINS juga telah disusun mengikut kesesuaian kawasan gangguan bagi memudahkan penduduk menggunakan air dari tangki berkenaan.

  BANJIR 3

Usaha SAINS ini tidaklah mudah untuk memuaskan hati semua pihak kerana dalam memastikan bekalan air mencukupi kepada penduduk yang terkesan masih ada kekangan dan kelemahan yang dihadapi oleh SAINS iaitu tekanan air rendah, tempat pengambilan air bagi lori tangki jauh di Daerah Jempol (perjalanan 80km pergi balik) dan memakan masa hampir 2 jam untuk berpatah balik ke Jelebu. Kekangan jarak dan tempoh masa ini membuatkan ramai penduduk yang tidak berpuas hati membuat aduan di talian bebas tol SAINS 1-800-88-6982. SAINS memohon maaf atas kesulitan ini.

  BANJIR 4

  

Semenjak dari 18 Disember 2021 sehingga hari ini 24 Disember 2021, SAINS akan terus berusaha memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan seperti biasa di Jelebu.

Kejadian seperti ini bukan sahaja berlaku di Jelebu sebaliknya ia juga berlaku di Seremban yang mana LRA Pantai terpaksa menutup pengoperasiannya disebabkan berlaku runtuhan tebing dan halangan pokok tumbang di jalan masuk ke loji. Disamping itu bekalan elektrik juga terputus dan kerosakan infrastruktur loji serta intake menyebabkan loji sehingga hari ini tidak dapat beroperasi lagi.

Pemberhentian operasi di LRA Pantai menyebabkan lebih dari 13,000 akaun terjejas di sekitar kawasan Sikamat dan Pantai. SAINS seperti biasa akan terus membantu penduduk kawasan terlibat dengan penghantaran bekalan air di kawasan yang boleh dimasuki oleh lori tangki SAINS dan menempatkan dua buah JUMBO di sekitar Sikamat dengan kerjasama pihak BOMBA Negeri Sembilan juga. Hari ini 24 Disember 2021, LRA Pantai masih belum beroperasi sehingga kerja-kerja pembaikan jalan dan tebing selesai disamping kerja-kerja baikpulih infrastruktur dalaman SAINS juga siap.

 BANJIR 5

BANJIR 6

Bagi mengatasi kawasan Sikamat dan Pantai daripada berterusan mengalami gangguan bekalan air, SAINS telah membuat sambungan paip dari Sungai Terip ke Mendom bagi membantu kawasan Pantai dan sambungan paip melalui jajaran Batu 5 ke Gunhill bagi mengatasi kawasan Sikamat. SAINS mengharapkan dengan usaha ini dapat membantu kawasan terlibat mendapat bekalan air sehingga kerja-kerja pembaikan LRA Pantai selesai.

Kejadian hujan lebat dan peningkatan paras air sungai di Jelebu ini menyebabkan intake Petaseh turut dimasuki air dan infrastruktur dalaman intake juga ditenggelami air, weir gate dipenuhi sampah dan keadaan ini menyebabkan kerosakan pada pam yang sedia ada. Intake Petaseh merupakan sumber air mentah bagi LRA Ngoi-ngoi di Seremban yang mana pengeluaran air terawat loji adalah 136 juta liter sehari (30mgd) bagi penduduk di Seremban dan Nilai. Namun keadaan ini tidak menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air di kawasan berkenaan berikutan LRA Ngoi-ngoi boleh mendapatkan bekalan air mentah dari Empangan Triang pada masa ini.

  BANJIR 7

Lanjutan kenaikan paras air sungai yang tidak dijangkakan ini juga menyebabkan LRA Linggi mengalami gangguan operasinya. LRA Linggi terpaksa mengurangkan pengeluarannya pada 19 Disember 2021 berikutan kekeruhan air mentah tinggi dan ini mengakibatkan gangguan di sebahagian kawasan Port Dickson, Seremban dan Rembau. Kerja-kerja pembersihan weir gate LRA Linggi juga perlu dilaksanakan bagi membantu loji untuk beroperasi semula. Pada 21 Disember 2021 LRA Linggi telah beroperasi semula dan sehingga 23 Disember 2021, loji mula menghadapi isu yang sama iaitu kekeruhan air mentah tinggi menyebabkan loji terpaksa mengurangkan semula pengeluarannya. Kekurangan pengeluaran di LRA Linggi akan mengakibatkan beberapa kawasan di Port Dickson mengalami gangguan bekalan air sama ada tekanan rendah atau tiada bekalan air.

BANJIR 9

SAINS akan terus berusaha memberikan perkhidmatan bekalan air yang berterusan seperti biasa jika sekiranya segala kekangan ini dapat diatasi dan ianya bergantung kepada kerjasama daripada semua pihak seperti jabatan kerajaan dan agensi yang terlibat dalam menguruskan banjir serta penambahbaikan kemudahan asas yang lain. SAINS akan segera bertindak bagi kerja-kerja pembaikan intake, loji, S-bend dan paip agihan agar dapat memberikan bekalan air secara sementara atau kekal.

Semoga penduduk yang terkesan dan berada di kawasan yang terjejas terus bersama-sama dengan SAINS memberikan kepercayaan terhadap usaha dan perkhidmatan SAINS dalam membekalkan bekalan air bersih yang berterusan kepada pengguna di Negeri Sembilan walau dalam keadaan apa sekali pun. Sepanjang musibah ini berlaku, 20 Disember 2021 SAINS telah menubuhkan pusat tindakan kecemasan dan plan kontigensi SAINS (PTK) seawal jam 8:00 pagi sehingga 12:00 tengah malam untuk memantau maklumbalas dan tindakan SAINS di daerah-daerah terlibat.

Jabatan Komunikasi Korporat SAINS juga turut memberikan maklumat dan makluman terkini kepada pihak media melalui kenyataan media yang dikeluarkan sejak 19 Disember 2021 sehingga kini selain maklumat terkini situasi di kawasan gangguan melalui Facebook Pusat Khidmat Pelanggan SAINS dengan gambar-gambar terkini.

Keprihatinan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan dan jabatan kerajaan juga banyak membantu SAINS menangani isu gangguan bekalan air sejak 20 Disember 2021 yang mana YAB Menteri Besar telah mengadakan Sidang Media di LRA Pantai disamping mengadakan lawatan bersama-sama beberapa pengarah jabatan seperti JPS, BKSA dan JKR. YAB Menteri Besar juga telah mengadakan lawatan ke Jelebu bersama-sama SAINS serta agensi yang terlibat pada 22 Disember 2021 sekali gus meninjau intake Lakai serta kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir dan terputus hubungan serta bekalan air.

  BANJIR 10

Sebarang maklmat lanjut yang terkini dari SAINS terhadap kawasan gangguan boleh dirujuk melalui www.sainswater.com dan sebarang aduan atau permohonan bantuan bekalan air boleh hubungi talian 1-800-88-6982 untuk SAINS daftarkan dan salurkan kepada pegawai yang bertugas di tapak.

Casino sites http://gbetting.co.uk/casino with welcome bonuses.